Thursday, June 10, 2010

KUALI & PERIUK PUN MESTI MAU HALAL MAA..

Baru-baru ini Pengerusi Persekutuan Restoran Ku Su Shin Choong Hung (Ku Su) Malaysia & cawangan Selangor mendakwa golongan pertengahan Melayu yang kebanyakannya umat Islam semakin menggemari masakan Cina.

En. Lum Tuck Loy dalam kenyataannya menyeru pengusaha makanan Cina menyertai industri halal yang semakin berkembang diterajui Malaysia. Industri halal dunia dianggarkan bernilai RM1.4 billion. Katanya kebanyakan kriteria industri halal sudah diamalkan pengusaha masakan Cina ketika ini. "Kita hanya perlu mengubah dari aspek kandungan dan penyediaan sahaja untuk mencapai status halal." tambahnya.

Kenyataan-kenyataan En. Lim (eh maaf En. Lum!) tadi memang dialu-alukan dan sepatutnya disokong oleh persatuan pengusaha restoran yang lain. Maka kalau nak capai status halal, pengusaha restoran Cina sekarang wajib:
  1. Mengenepikan menu berasaskan ternakan babi. Tak kira lah apa-apa bahagian pun.
  2. Memastikan ayam & daging yang digunakan telah disembelih menurut amalan Islam.
  3. Memansuhkan masakan-masakan eksotik yang diharamkan Islam (bukan Perhilitan saja) seperti tapak kaki beruang, otak monyet, ular, ekor harimau (sekadar contoh dan tiada kena mengena dengan menu sebenar).
  4. Menghentikan penggunaan arak sebagai perasa.
Paling penting, perkakasan memasak juga harus ditukar dengan yang baru atau sekurang-kurangnya disucikan dengan air bercampur tanah (di bawah pengawasan pegawai jabatan agama). Tak guna kalau serba serbi semua dah halal tapi masih guna perkakas memasak yang sama. Pinggan mangkuk pun.

Persoalan sekarang ini, mahukah mereka melakukannya?? Kalau nak dilihat sekarang pun tak banyak kopitiam yang ada pensijilan halal yang sah tapi ramai juga orang Islam datang makan (sendiri juga yang salah). Selepas pensijilan dari badan-badan swasta diisytiharkan tidak sah baru lah nampak batang hidung nak mendapatkan pensijilan jabatan agama. Itu pun boleh kira dengan jari.

Monday, June 7, 2010

TAK NAK JUAL?? RAMAI LAGI YANG NAK TOLONG JUAL

20,000 ahli Persekutuan Peniaga Barang Runcit Malaysia mahu menghentikan penjualan 3 barang kawalan iaitu gula, minyak masak dan tepung gandum bermula 15 Jun ini ekoran keputusan kerajaan yang mewajibkan perlesenan.

Presiden sebuah parti politik yang mewakili persekutuan ini (mana presidennya?? tak pandai bersuara ke?? nak kena ikut saluran politik jugak??) berkata langkah tersebut adalah 'keputusan perniagaan' kerana untungnya tak banyak (tak cukup untuk jadi kaya macam Tan Sri Robert Kuok). "Ini bukannya protes" tegas presiden parti tersebut.

Namun KPDNKK akan tetap dengan keputusannya untuk mewajibkan lesen barang kawalan peruncit. Yuran lesen RM10 dimansuhkan buat sementara dan akan ditangguhkan ke 1 Julai untuk tidak membebankan peniaga. Ramai lagi peniaga-peniaga yang mahu menjual barang-barang kawalan ini jika persekutuan tersebut tidak mahu meneruskan penjualan, kata menterinya. Sekarang pun dah boleh jumpa pasaraya-pasaraya besar di kawasan pekan.

Peniaga-peniaga dikatakan sudah dibebani dengan pelbagai jenis lesen sehingga 11 jenis lesen (tidak termasuk lesen memandu) berjumlah lebih seribu ringgit untuk tempoh setahun. Mereka cuma(?) untung 3 sen bagi 1kg gula dan 20 sen bagi 5kg minyak.

Menurut kajian CAP, penggunaan gula seorang rakyat Malaysia hari ini secara purata dianggarkan berjumlah 100g sehari (wah!!). Maka penggunaan gula di Malaysia boleh dianggarkan 2600 tan metrik sehari! Belum ambil kira bilangan pendatang halal dan haram lagi. Keuntungan harian secara kasar peniaga-peniaga gula ini lebih kurang RM78000. Sudah terang lagi bersuluh. Keuntungan keseluruhan disorokkan. Keuntungan sekilogram yang diwar-warkan. Kecoh betul.

Penjualan barang-barang ini dikatakan seperti khidmat masyarakat. Mereka sebaliknya menyalahkan agensi-agensi kerajaan di pintu keluar masuk negara yang tidak mencegah kegiatan penyeludupan dengan berkesan. Mereka tidak mahu bersusah-susah lagi. Biarlah agensi-agensi ini pula yang bersusah-susah untuk mereka. Takkanlah susah sangat nak kawal pintu-pintu laluan kan?? Macam mana barang-barang kawalan ini boleh sampai ke negara-negara lain dengan mudah?? Adakah sempadan negara cuma bertembokkan pagar buluh sahaja?? SPRM sila siasat.

Persekutuan tersebut berharap keputusan ini dapat menarik sokongan persatuan-persatuan peniaga yang lain untuk turut sama memboikot penjualan jika kerajaan enggan menimbang semula arahannya. Eh, tadi kata bukan protes??

Penulis merasakan langkah ini baik namun ketegasan penguatkuasaan amat diperlukan. Tengoklah nanti sama ada mereka akan benar-benar memboikot penjualan barang-barang kawalan ini. Sama ada mereka betul-betul menentang hukum ekonomi di mana ada permintaan di situ ada penjualan. Adakah hanya sekadar hangat-hangat tahi ayam? Adakah mereka akan menjilat ludah sendiri? Adakah panas yang mereka bawa sampai ke petang? Kita tunggu dan lihat.

Langkah mengurangkan subsidi gula secara peribadi lebih disenangi penulis berbanding langkah mewajibkan lesen ini.

Sunday, May 30, 2010

SAMPAH MASYARAKAT

Fakta Sampah (tetapi lebih bernilai dari sampah):
  1. 9 tapak pelupusan sampah baru akan dibina pada tahun 2010
  2. 177 tapak pelupusan sampah masih beroperasi di seluruh Malaysia
  3. 144 tapak pelupusan sampah sudah tidak sesuai digunakan
  4. RM 20 juta diperlukan untuk membina sebuah tapak pelupusan sampah (termasuk kos pembinaan teknologi rawatan mengawal bau sampah)
  5. Pusat pelupusan sampah mini akan dibina bagi mengurus sampah di pulau & tanah tinggi berkeluasan terhad seperti Pulau Langkawi, Pulau Tioman, Pulau Pangkor & Cameron Highlands
  6. Jumlah sampah yang dihasilkan di Malaysia dijangka mencecah 30 000 tan metrik (30 juta kilogram) sehari menjelang tahun 2020

Sumber dari Utusan Malaysia. Dipetik dari Ketua Pengarah Jabatan Pengurusan Sisa Pepejal Negara, Datuk Nadzri Yahya.

Kurangkan Sampah dengan Mengkompos

Apa itu kompos?

  • Produk yang terhasil daripada penguraian bahan organik terbiodegradasi
  • Contoh terdekat bahan organik terbiodegradasi di dalam rumah kita ialah sisa makanan
  • Sumber baja paling selamat, efektif dan mesra alam

Mengapa mengkompos?

  • Cara paling efektif mengurangkan sampah dari rumah ke tapak pelupusan
  • Penggunaan baja sintetik untuk pokok bunga anda dapat dikurangkan @ dihapuskan
  • Kita sudah mempunyai ratusan (lebih dari seratus) tapak pelupusan sampah
  • Anda tidak mahu tinggal bersebelahan tapak pelupusan sampah
  • Bukankah anda suka berkebun?

Projek pengkomposan mini di rumah akan menyusul selepas pesanan penaja.

Wednesday, May 19, 2010

TEKAN SAJA? CABUTLAH SEKALI..

Bak kata seorang makcik di sebuah iklan stesyen TV berbayar, "Kalau nak tau, tekan je la.."

Kalau anda nak tahu juga, tenaga elektrik tidak sepenuhnya dijimatkan dengan hanya menutup suis plag. Kebanyakan perkakasan elektrik tidak benar-benar tidur apabila suis plag dimatikan tanpa dicabut. Ada juga yang menggelarkan perkakasan elektrik ini dengan nama-nama pelik seperti seterika hantu dan cerek pontianak (walaupun bunyi nyaring seakan-akan pontianak itu hanya terbit dari bibir cerek dapur). Dalam diam mereka sedut keluar wang ringgit anda! Begitu juga dengan pengatur tenaga (power regulator) untuk pendingin hawa jika tidak dimatikan suisnya.

Laman sesawang Eco-wisdom.com pernah menyatakan bahawa sesebuah isi rumah mampu menjimatkan sehingga $50 setahun hanya dengan menanggalkan plag dari soket. Dah jimat bil elektrik sekurang-kurangnya untuk sebulan bukan?

Ganti penyambung plag tanpa suis yang berlubang-lubang di setiap sisinya itu dengan penyambung plag yang dilengkapi suis dan kabel. Ia juga mampu menyelamatkan peralatan elektrik dan elektronik serta kediaman anda dari ancaman litar pintas.

Permulaan sememangnya sukar namun masa akan menjadikannya sebagai satu tabiat rutin dan spontan yang tidak perlu kita fikirkan lagi. Jangan lupa cabut plag komputer anda selepas ini! Jangan pula anda cabut plag peti sejuk.

NAK TUKAR MENTOL BARU?

LED (Light Emitting Diode) atau diod pemancar cahaya bukanlah sesuatu yang baru tetapi suatu masa dahulu harganya agak mahal dan tidak berbaloi untuk kegunaan isi rumah. Kebiasaannya ia digunakan untuk tujuan komersial dan penyelidikan. Hari ini kosnya semakin rendah. Pasti ada yang terpesona dengan lampu hadapan LED kereta mewah terbaru yang seakan-akan bertatahkan berlian. Pasti ada yang teringin beristirehat sambil menonton TV LED 100 inci di rumah.

Sanggupkah anda bertukar kepada lampu LED yang lebih mahal berbanding lampu pijar dan kalimantang? Pertimbangkan kelebihannya.
  1. Jimat kos kerana jangka hayatnya sehingga 60,000 jam atau 7 tahun pencahayaan tanpa henti.
  2. Tidak berbahaya apabila pecah kerana tidak mengandungi logam merkuri (Hg).
  3. Ruang rumah yang sejuk kerana cahaya tidak dihasilkan melalui pemanasan.
  4. Jimat bil elektrik kerana penggunaan tenaganya serendah 5 watt sahaja.
  5. Tahan lasak kerana tidak bergantung kepada ketahanan filamen.
  6. Tidak perlu tunggu lama untuk lampu LED menyala selepas dihidupkan.
Menarik bukan? Tunggu dulu. Pertimbangkan pula kelemahannya.
  1. Masih dianggap mahal (sekitar RM 100) sekali pun lebih murah berbanding dahulu.
  2. Lumen per watt (penumpuan cahaya) yang lemah berbanding lampu biasa.
  3. Pencahayaan tidak menyeluruh. Perlu guna lebih dari satu mentol LED.
Nampaknya kelebihan melangkaui kelemahan. Petua-petua berikut mungkin berguna jika anda berminat menggunakannya untuk kediaman (selain kereta kesayangan) anda.
  • Pasang di ruang-ruang kediaman yang kurang memerlukan penumpuan cahaya seperti kamar mandi, halaman rumah , ruang makan, ruang letak kereta dan stor.
  • Beli secara pukal. Selain menjimatkan kos anda juga boleh menjualnya kepada jiran-jiran yang berminat. Sudah jimat kos menyimpan.
  • Dapatkan dari pengedar tempatan. Benar harga dari pengedar luar negara lebih murah tetapi tuntutan warantinya lebih sukar.
  • Cari lampu yang mengandungi puluhan (atau ratusan) mentol LED. Ada yang berbentuk bulat. Ada juga yang panjang seperti lampu kalimantang biasa.
  • Periksa dan uji dahulu sebelum membeli. Jangan sampai tersalah warna cahaya pula!
  • Dapatkan juruelektrik bertauliah untuk pemasangan. Kalau boleh pasang sendiri lagi bagus.
Mana nak cari pengedar lampu LED tempatan? Ianya mudah jika tempat kerja anda dilengkapi lampu LED, dapatkan maklumat pengedarnya dari bahagian perolehan tempat kerja anda. Pengedar ini mungkin boleh menyediakan khidmat nasihat dan pemasangan lampu LED di rumah anda. Jika tidak, rajin-rajinlah bertanya kepada Pakcik Google.

8 HAK PENGGUNA YANG PERLU ANDA TAHU

  1. Hak untuk mendapat Keperluan Asas
  2. Hak untuk mendapat Keselamatan
  3. Hak untuk mendapat Maklumat
  4. Hak untuk membuat Pilihan
  5. Hak untuk mendapat Ganti Rugi
  6. Hak untuk menyuarakan Pendapat
  7. Hak untuk mendapat Pendidikan Kepenggunaan
  8. Hak untuk mendapat Persekitaran Sihat

semak BMI anda