LED (Light Emitting Diode) atau diod pemancar cahaya bukanlah sesuatu yang baru tetapi suatu masa dahulu harganya agak mahal dan tidak berbaloi untuk kegunaan isi rumah. Kebiasaannya ia digunakan untuk tujuan komersial dan penyelidikan. Hari ini kosnya semakin rendah. Pasti ada yang terpesona dengan lampu hadapan LED kereta mewah terbaru yang seakan-akan bertatahkan berlian. Pasti ada yang teringin beristirehat sambil menonton TV LED 100 inci di rumah.
Sanggupkah anda bertukar kepada lampu LED yang lebih mahal berbanding lampu pijar dan kalimantang? Pertimbangkan kelebihannya.
- Jimat kos kerana jangka hayatnya sehingga 60,000 jam atau 7 tahun pencahayaan tanpa henti.
- Tidak berbahaya apabila pecah kerana tidak mengandungi logam merkuri (Hg).
- Ruang rumah yang sejuk kerana cahaya tidak dihasilkan melalui pemanasan.
- Jimat bil elektrik kerana penggunaan tenaganya serendah 5 watt sahaja.
- Tahan lasak kerana tidak bergantung kepada ketahanan filamen.
- Tidak perlu tunggu lama untuk lampu LED menyala selepas dihidupkan.

Menarik bukan? Tunggu dulu. Pertimbangkan pula kelemahannya.
- Masih dianggap mahal (sekitar RM 100) sekali pun lebih murah berbanding dahulu.
- Lumen per watt (penumpuan cahaya) yang lemah berbanding lampu biasa.
- Pencahayaan tidak menyeluruh. Perlu guna lebih dari satu mentol LED.
Nampaknya kelebihan melangkaui kelemahan. Petua-petua berikut mungkin berguna jika anda berminat menggunakannya untuk kediaman (selain kereta kesayangan) anda.
- Pasang di ruang-ruang kediaman yang kurang memerlukan penumpuan cahaya seperti kamar mandi, halaman rumah , ruang makan, ruang letak kereta dan stor.
- Beli secara pukal. Selain menjimatkan kos anda juga boleh menjualnya kepada jiran-jiran yang berminat. Sudah jimat kos menyimpan.
- Dapatkan dari pengedar tempatan. Benar harga dari pengedar luar negara lebih murah tetapi tuntutan warantinya lebih sukar.
- Cari lampu yang mengandungi puluhan (atau ratusan) mentol LED. Ada yang berbentuk bulat. Ada juga yang panjang seperti lampu kalimantang biasa.
- Periksa dan uji dahulu sebelum membeli. Jangan sampai tersalah warna cahaya pula!
- Dapatkan juruelektrik bertauliah untuk pemasangan. Kalau boleh pasang sendiri lagi bagus.
Mana nak cari pengedar lampu LED tempatan? Ianya mudah jika tempat kerja anda dilengkapi lampu LED, dapatkan maklumat pengedarnya dari bahagian perolehan tempat kerja anda. Pengedar ini mungkin boleh menyediakan khidmat nasihat dan pemasangan lampu LED di rumah anda. Jika tidak, rajin-rajinlah bertanya kepada Pakcik Google.
No comments:
Post a Comment