Sunday, May 30, 2010

SAMPAH MASYARAKAT

Fakta Sampah (tetapi lebih bernilai dari sampah):
  1. 9 tapak pelupusan sampah baru akan dibina pada tahun 2010
  2. 177 tapak pelupusan sampah masih beroperasi di seluruh Malaysia
  3. 144 tapak pelupusan sampah sudah tidak sesuai digunakan
  4. RM 20 juta diperlukan untuk membina sebuah tapak pelupusan sampah (termasuk kos pembinaan teknologi rawatan mengawal bau sampah)
  5. Pusat pelupusan sampah mini akan dibina bagi mengurus sampah di pulau & tanah tinggi berkeluasan terhad seperti Pulau Langkawi, Pulau Tioman, Pulau Pangkor & Cameron Highlands
  6. Jumlah sampah yang dihasilkan di Malaysia dijangka mencecah 30 000 tan metrik (30 juta kilogram) sehari menjelang tahun 2020

Sumber dari Utusan Malaysia. Dipetik dari Ketua Pengarah Jabatan Pengurusan Sisa Pepejal Negara, Datuk Nadzri Yahya.

Kurangkan Sampah dengan Mengkompos

Apa itu kompos?

  • Produk yang terhasil daripada penguraian bahan organik terbiodegradasi
  • Contoh terdekat bahan organik terbiodegradasi di dalam rumah kita ialah sisa makanan
  • Sumber baja paling selamat, efektif dan mesra alam

Mengapa mengkompos?

  • Cara paling efektif mengurangkan sampah dari rumah ke tapak pelupusan
  • Penggunaan baja sintetik untuk pokok bunga anda dapat dikurangkan @ dihapuskan
  • Kita sudah mempunyai ratusan (lebih dari seratus) tapak pelupusan sampah
  • Anda tidak mahu tinggal bersebelahan tapak pelupusan sampah
  • Bukankah anda suka berkebun?

Projek pengkomposan mini di rumah akan menyusul selepas pesanan penaja.

Wednesday, May 19, 2010

TEKAN SAJA? CABUTLAH SEKALI..

Bak kata seorang makcik di sebuah iklan stesyen TV berbayar, "Kalau nak tau, tekan je la.."

Kalau anda nak tahu juga, tenaga elektrik tidak sepenuhnya dijimatkan dengan hanya menutup suis plag. Kebanyakan perkakasan elektrik tidak benar-benar tidur apabila suis plag dimatikan tanpa dicabut. Ada juga yang menggelarkan perkakasan elektrik ini dengan nama-nama pelik seperti seterika hantu dan cerek pontianak (walaupun bunyi nyaring seakan-akan pontianak itu hanya terbit dari bibir cerek dapur). Dalam diam mereka sedut keluar wang ringgit anda! Begitu juga dengan pengatur tenaga (power regulator) untuk pendingin hawa jika tidak dimatikan suisnya.

Laman sesawang Eco-wisdom.com pernah menyatakan bahawa sesebuah isi rumah mampu menjimatkan sehingga $50 setahun hanya dengan menanggalkan plag dari soket. Dah jimat bil elektrik sekurang-kurangnya untuk sebulan bukan?

Ganti penyambung plag tanpa suis yang berlubang-lubang di setiap sisinya itu dengan penyambung plag yang dilengkapi suis dan kabel. Ia juga mampu menyelamatkan peralatan elektrik dan elektronik serta kediaman anda dari ancaman litar pintas.

Permulaan sememangnya sukar namun masa akan menjadikannya sebagai satu tabiat rutin dan spontan yang tidak perlu kita fikirkan lagi. Jangan lupa cabut plag komputer anda selepas ini! Jangan pula anda cabut plag peti sejuk.

NAK TUKAR MENTOL BARU?

LED (Light Emitting Diode) atau diod pemancar cahaya bukanlah sesuatu yang baru tetapi suatu masa dahulu harganya agak mahal dan tidak berbaloi untuk kegunaan isi rumah. Kebiasaannya ia digunakan untuk tujuan komersial dan penyelidikan. Hari ini kosnya semakin rendah. Pasti ada yang terpesona dengan lampu hadapan LED kereta mewah terbaru yang seakan-akan bertatahkan berlian. Pasti ada yang teringin beristirehat sambil menonton TV LED 100 inci di rumah.

Sanggupkah anda bertukar kepada lampu LED yang lebih mahal berbanding lampu pijar dan kalimantang? Pertimbangkan kelebihannya.
  1. Jimat kos kerana jangka hayatnya sehingga 60,000 jam atau 7 tahun pencahayaan tanpa henti.
  2. Tidak berbahaya apabila pecah kerana tidak mengandungi logam merkuri (Hg).
  3. Ruang rumah yang sejuk kerana cahaya tidak dihasilkan melalui pemanasan.
  4. Jimat bil elektrik kerana penggunaan tenaganya serendah 5 watt sahaja.
  5. Tahan lasak kerana tidak bergantung kepada ketahanan filamen.
  6. Tidak perlu tunggu lama untuk lampu LED menyala selepas dihidupkan.
Menarik bukan? Tunggu dulu. Pertimbangkan pula kelemahannya.
  1. Masih dianggap mahal (sekitar RM 100) sekali pun lebih murah berbanding dahulu.
  2. Lumen per watt (penumpuan cahaya) yang lemah berbanding lampu biasa.
  3. Pencahayaan tidak menyeluruh. Perlu guna lebih dari satu mentol LED.
Nampaknya kelebihan melangkaui kelemahan. Petua-petua berikut mungkin berguna jika anda berminat menggunakannya untuk kediaman (selain kereta kesayangan) anda.
  • Pasang di ruang-ruang kediaman yang kurang memerlukan penumpuan cahaya seperti kamar mandi, halaman rumah , ruang makan, ruang letak kereta dan stor.
  • Beli secara pukal. Selain menjimatkan kos anda juga boleh menjualnya kepada jiran-jiran yang berminat. Sudah jimat kos menyimpan.
  • Dapatkan dari pengedar tempatan. Benar harga dari pengedar luar negara lebih murah tetapi tuntutan warantinya lebih sukar.
  • Cari lampu yang mengandungi puluhan (atau ratusan) mentol LED. Ada yang berbentuk bulat. Ada juga yang panjang seperti lampu kalimantang biasa.
  • Periksa dan uji dahulu sebelum membeli. Jangan sampai tersalah warna cahaya pula!
  • Dapatkan juruelektrik bertauliah untuk pemasangan. Kalau boleh pasang sendiri lagi bagus.
Mana nak cari pengedar lampu LED tempatan? Ianya mudah jika tempat kerja anda dilengkapi lampu LED, dapatkan maklumat pengedarnya dari bahagian perolehan tempat kerja anda. Pengedar ini mungkin boleh menyediakan khidmat nasihat dan pemasangan lampu LED di rumah anda. Jika tidak, rajin-rajinlah bertanya kepada Pakcik Google.

8 HAK PENGGUNA YANG PERLU ANDA TAHU

  1. Hak untuk mendapat Keperluan Asas
  2. Hak untuk mendapat Keselamatan
  3. Hak untuk mendapat Maklumat
  4. Hak untuk membuat Pilihan
  5. Hak untuk mendapat Ganti Rugi
  6. Hak untuk menyuarakan Pendapat
  7. Hak untuk mendapat Pendidikan Kepenggunaan
  8. Hak untuk mendapat Persekitaran Sihat

semak BMI anda